PERSAINGAN 6 PENJURU DI KIULU, CALON UPKO LAIN JUGA HADAPI BANYAK PENJURU

KIULU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau akan berdepan saingan enam penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Madius dicabar Datuk Joniston Bangkuai dari Parti Bersatu Sabah (PBS), Dr Rosalyn Gelunu dari Parti Liberal Demokratik (LDP), Bruno Yasun dari Parti Cinta Sabah (PCS) dan dua calon Bebas masing-masing Dominic Yasun dan Jolianis Lampug.

Madius berkata, PRN ini adalah bersejarah buatnya kerana pertama kali bertanding di kerusi DUN dengan harapan untuk meneruskan kesinambungan usaha yang telah dirancang kerajaan negeri.

“Saya yakin sekiranya rakyat memberikan peluang dan mandat kepada kerajaan sekarang bagi meneruskan pentadbiran negeri dalam lima tahun akan datang, pelbagai program pembangunan yang telah kita rancang dapat dilaksanakan,” katanya.

Pada PRN ini, UPKO bertanding di 12 kerusi daripada 73 kerusi DUN.

Di kerusi DUN Paginatan, calon UPKO, Georgina George berdepan saingan sengit daripada lapan calon membabitkan Junaidi Jemadi Sahat (BN), Hendrynus Amin (Anak Negeri), Abidin Madingkir (STAR), Bensin Dani (Parti Gagasan Rakyat Sabah), Arthur Sen (PBS), Leong Shu Min (LDP), Kamil Kasibun (USNO) dan Amru Kadir (PCS).

Bagi kerusi Tandek, calon UPKO, Padis Majingkin berdepan pertandingan enam penjuru antara calon PCS, PBS, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), USNO dan PGRS.

Di kerusi Tambunan pula, bekas pengarah Jabatan Hidupan Liar yang juga calon UPKO, Datuk Dr Nayan Yambu@ Laurentius berdepan saingan daripada Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey G Kitingan, Sylvernus Bruno (PBS), Damian Richard Marcus Podtung (PCS), Nordin Jani (PGRS) dan calon Bebas, Jimmy Palikat.

Di Kadamaian, Naib Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick berdepan saingan daripada calon Bebas, Raiting @ Mohd Farhan, Leduning bin Lengik @ Ernest (LDP), Dr Beting Giling @ Joshua (PCS), Demis Rumanti (PBS) dan Duanis Mogirong @ Djuanis (BN).

Di Nabawan, calon UPKO, Albert Aguir dicabar tiga calon daripada Maikol Ampuas, Ampalus Robert Sanaron (PCS) dan Datuk Ghani Yasin (BERSATU).

Sementara itu, di Telupid pula, calon UPKO Felix Joseph Sitin berdepan pertandingan lima penjuru membabitkan John Ladas (LDP), Jonnybone J Kurum (PBS), Abdul Wahab Abdul Gani (BN) dan Jingkoi Luna (PCS).

Naib Presiden UPKO, Datuk Dr Lucas Umbul bertanding di kerusi DUN Kemabong, manakala Setiausaha Agung UPKO, Nelson W Angang di kerusi DUN Kuala Penyu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), UPKO memenangi lima daripada enam kerusi dipertandingkan iaitu Kuamut, Kadamaian, Paginatan, Kuala Penyu dan Nabawan.

Pada PRN kali ini, UPKO buat pertama kalinya bertanding sebagai rakan kerjasama Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

SPR menetapkan 26 September sebagai tarikh pengundian, manakala pengundian awal pada 22 September ini.-http://beritasabah.com

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *