Pergaduhan ala filem Tamil

SEBERANG PERAI – Seorang lelaki cedera akibat ditetak, manakala empat buah kenderaan yang diletakkan di hadapan sebuah rumah rosak selepas diserang oleh enam individu dalam pergaduhan di hadapan sebuah rumah di Kampung Perlis, Butterworth di sini hari ini.

Dalam kejadian ala aksi filem Tamil kira-kira pukul 10.45 pagi itu, mangsa berusia 50 tahun luka pada tapak tangan kanan selepas ditetak menggunakan sebilah parang oleh salah seorang suspek.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kejadian berlaku selepas salah seorang penyerang dikenali Chandru menampar anak bongsu mangsa yang merupakan seoranh pemandu van kilang semalam.

“Keenam-enam suspek yang setiap seorang bersenjatakan parang telah memecahkan cermin kereta milik mangsa dan keluarganya selain memecahkan cermin tingkap di hadapan rumah.

“Dalam kejadian itu, mangsa diserang oleh Chandru menggunakan parang sehingga menyebabkan kecederaan putus urat tangan kanan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Noorzainy, dalam kejadian itu, Chandru turut dilaporkan mengalami luka selepas mangsa melibaskan parang milik salah seorang suspek lain yang terjatuh ketika mempertahankan diri.

Beliau berkata, setakat ini polis telah menahan tiga individu barusia di antara 24 hingga 26 tahun termasuk Chandru di Hospital Seberang Jaya di sini kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 326, Seksyen 148 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

The post Pergaduhan ala filem Tamil appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *