Perbuatan campur daging tidak sah terbongkar

SHAH ALAM – Tindakan pihak tidak bertanggungjawab mencampur aduk daging dari pusat penyembelihan yang tidak sah terbongkar apabila gudang sejuk beku yang menjadi tempat penyimpanan di Puchong diserbu Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira pukul 11 malam itu, daging tersebut didapati diseludup melalui tiga kontena dan ia ditemui bercampur aduk dari tempat penyembelihan yang mendapat kelulusan kerajaan dan juga tidak sah.

Maqis dalam satu kenyataan berkata, hasil pemeriksaan dan maklumat awal yang dijalankan, sumber daging yang ditemui telah bercampur aduk dari pusat penyembelihan yang tidak diluluskan dengan yang diluluskan oleh kerajaan.

“Sehingga lewat malam tadi, pihak polis bersama Maqis bertungkus lumus mengira kuantiti daging yang disita dan akan ditempatkan di tempat tahanan Maqis.

“Polis yang mengetuai operasi itu akan menyerahkan kes ini kepada pihak Maqis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 11 dan 15, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” ujarnya.

Jelas Maqis, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit, lesen atau perakuan adalah satu kesalahan mengikut seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Katanya lagi, Maqis amat menghargai kerjasama yang dimainkan oleh rakan strategik seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Agama Islam Negeri, Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan lain-lain di dalam menangani isu penyeludupan seumpama ini. -K! ONLINE

The post Perbuatan campur daging tidak sah terbongkar appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *