Penyanyi Gurindam Jiwa, R. Ismail meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Penyanyi veteran kelahiran Singapura, R. Ismail atau nama sebenarnya, Ismail Abdul Rahman meninggal dunia akibat komplikasi jantung sekitar pukul 2.30 petang, Ahad.

Berita tersebut dimaklumkan oleh anak-anaknya, Elfee Ismail dan Iskandar Ismail menerusi catatan dalam laman Facebook masing-masing.

“Abah (bapa) kesayangan saya, Ismail bin Abdul Rahman (R. Ismail) telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kita sekeluarga, adik-beradik sayang abah,” tulis Elfee kira-kira lapan jam lalu.

R. ISMAIL (tengah) bersama dua orang anaknya, Elfee dan Iskandar.

Allahyarham R. Ismail, 83, dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi (ICU) baru-baru ini. Jenazah Allahyarham dibawa ke rumah anak sulungnya, Iskandar, di Choa Chu Kang, Singapura dan akan dikebumikan pagi esok.

Penyanyi bersuara emas itu sinonim dengan lagu-lagu malar segar seperti Gurindam Jiwa. Lagu nyanyian beliau bersama Allahyarham Rafeah Buang itu turut diangkat menjadi lagu runut bunyi untuk filem dengan tajuk yang sama.

Allahyarham R. Ismail sebelum ini pernah menetap di Malaysia sekitar 10 tahun sebelum kembali ke Singapura pada 2017.

Allahyarham mula menceburi bidang nyanyian sejak berusia lapan tahun bersama Radio Malaya dan turut terkenal dengan lagu-lagu seperti Seri Mersing, Gelombang dan Laila Majnun.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, 10 anak dan 13 cucu. – K! ONLINE

The post Penyanyi Gurindam Jiwa, R. Ismail meninggal dunia appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *