Peniaga miliki 176 pakaian dan aksesori tiruan berjenama didenda RM21,000

KUALA TERENGGANU – Gara-gara memiliki pakaian dan aksesori tiruan berjenama, seorang peniaga didenda RM21,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Nooriah Osman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Arif Hakimi Ariffin, 30, mengaku bersalah selepas lima pertuduhan dibacakan dihadapannya.

Beliau juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Muhammad Arif Hakimi yang tidak diwakili peguam telah membayar denda tersebut.

Berdasarkan kesemua lima pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki 176 pakaian dan aksesori tiruan berjenama Adidas, Nike, Louis Vuitton, Gucci dan Levis di sebuah premis di Jalan Tok Adis di sini pada 13 Julai lalu.

Muhammad Arif Hakimi didakwa mengikut Seksyen 102 (1) (b) Akta Cap Dagangan 2019 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 bagi barangan dirampas atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Abd. Majid Mat Jusoh. – K! ONLINE

The post Peniaga miliki 176 pakaian dan aksesori tiruan berjenama didenda RM21,000 appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *