Pengendali perisian judi online ditumpaskan

PETALING JAYA – Polis menumpaskan satu syarikat pengendali perisian judi online selepas menahan 37 pakar teknologi maklumat dalam satu serbuan di bangunan pejabat di Symphony Square di sini hari ini.

Serbuan bermula pukul 6.30 petang hingga 9 malam itu turut membawa kepada penangkapan pemilik syarikat pengendali tersebut yang berusia 40 tahun.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, hasil siasatan mendapati syarikat tersebut sudah beroperasi sejak dua tahun lalu dan mendapat keuntungan AS$40,000 (RM160,000) setiap bulan.

Katanya, syarikat itu akan memberi perisian judi online kepada sindiket judi yang berpangkalan di Thailand.

“Mereka mengendalikan perisian judi online ni melalui satu laman sesawang khas dan setakat ini sudah 500 aplikasi judi online direka cipta.

“Selain itu, mereka menggunakan tujuh bank untuk melakukan transaksi daripada kaki judi yang berpangkalan di negara jiran,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sini hari ini.

Menurutnya lagi, hasil siasatan lanjut mendapati kesemua mereka yang ditahan merupakan warga tempatan dan pakar teknologi maklumat.

Difahamkan setiap pekerja dibayar gaji RM3,000 hingga RM10,000 mengikut kepakaran masing-masing.

“Seramai 37 individu termasuk 11 wanita berusia lingkungan 30 hingga 40-an diberkas dalam serbuan tersebut.

“Mereka akan bekerja setiap hari bermula 9 pagi hingga 8 malam,” ujarnya.

Tambah Nik Ezanee kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. – K! ONLINE

The post Pengendali perisian judi online ditumpaskan appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *