Pengedar dadah China guna salur pembentung lolos dari penjara 

JAKARTA – Seorang pengedar dadah warga China yang bakal menghadapi hukuman mati melarikan diri dari penjara melalui saluran pembentungan di Tangerang di sini baru-baru ini.

Jurucakap Polis Jakarta, Yusri Yunus berkata, lelaki tersebut, Cai Changpan, 37, menggali lubang di bilik penjaranya yang bersambung dengan salur pembentungan sebelum keluar ke jalan raya berhampiran.

“Menurut kenyataan rakan sebiliknya, pesalah telah merancang untuk melarikan diri sejak enam bulan lalu.

“Difahamkan dia menggali lubang berkenaan menggunakan peralatan yang diperoleh daripada kerja pembinaan di dapur penjara,” katanya.

Selain itu, Jurucakap Direktorat Penjara Indonesia, Rika Aprianti berkata, pengedar dadah yang turut menggunakan nama Cai Ji Fan itu melarikan diri ketika waktu pertukaran pengawal penjara.

Menurut laporan berita tempatan, Changpan dijatuhi hukuman mati pada tahun 2017 kerana menyeludup 135 kilogram (kg) serbuk kristal methamphetamine.

Sebanyak 70 kg daripada bahan terlarang itu dijumpai disembunyikan di dalam peralatan pembersih reban ayam.

Sementara itu, pihak polis berkata, Changpan pernah melarikan diri dari pusat tahanan polis pada tahun 2017 dengan memecahkan lubang pada dinding bilik air. – Agensi

The post Pengedar dadah China guna salur pembentung lolos dari penjara  appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *