Pengadil profesional Liga M bermula tahun depan

HASRAT untuk menyaksikan kelibat pengadil profesional dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini tidak kesampaian selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan Sistem Pengadil Profesional Malaysia (MProRS) ditangguhkan pada tahun depan.

Sebagai rekod, MProRS telah dilancarkan oleh FAM pada Mac lalu dengan enam pengadil kebangsaan telah disenarai pendek untuk menjadi perintis sebelum dua pengadil terbaik akan ditawarkan kontrak sebagai pengadil profesional pada Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Md. Dali Wahid berkata, penularan pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan perjalanan saingan Liga M menjadi punca utama projek MProRS terpaksa ditangguhkan.

“Sepatutnya MProRS akan mendedahkan senarai pendek calon pengadil profesional pada Julai lepas. Namun, penangguhan Liga M hampir lima bulan telah menjejaskan perancangan yang telah diaturkan sebelum ini.

“Namun, projek ini tetap akan diteruskan dengan jangkaan kami ia akan dimulakan pada tahun depan. Cuma, ia akan didedahkan sendiri oleh Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd. Amin),” katanya pada majlis penyerahan jersi baharu pengadil Liga M di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.

Barisan pengadil yang sebelum ini disenarai pendek ialah Muhammad Nazmi Nasaruddin, Mohd Yaasin Mohd Hanafiah, Zulkarnain Zakaria, Muhammad Faizuddin Ismail, Razlan Joffri Ali dan Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman.

Dalam perkembangan sama, Dali mengumumkan, barisan pengadil Liga M telah mendapatkan penajaan daripada Kronos yang menampilkan kelainan dengan rekaan jersi berwarna oren.

“Perbezaan musim ini akan memberi impak buat pengadil untuk memperagakan prestasi yang lebih baik ketika mengadili baki saingan musim ini kerana sebelum ini, jersi pengadil adalah hitam, kelabu, torquoise dan ungu.

“Dengan rekaan baharu ini, ia akan dapat kerap digunakan pengadil kerana kebarangkalian untuk bertembung warna dengan jersi pasukan bertanding sangat rendah,” katanya. – K! ONLINE

The post Pengadil profesional Liga M bermula tahun depan appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *