Penduduk Kota Setar serbu pasar raya

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI

ALOR SETAR – Penduduk di daerah ini didapati membuat pembelian panik selepas pengumuman Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran susulan pandemik Covid-19 bagi Kluster Sungai dan Telaga dibuat petang tadi.

Kebanyakan pasar raya besar, pasar mini serta kedai-kedai runcit di sekitar bandar ini dibanjiri pelanggan yang mahu membuat persiapan sepanjang tempoh PKPD tersebut.

Penduduk Alor Merah di sini, Nurfatehah M. Zahir, 23, memberitahu, ibu dan adiknya keluar membeli bekalan makanan kering selepas mengetahui tentang pelaksanaan PKPD di Kota Setar.

“Boleh dikatakan semua pasar raya besar sehinggalah kedai runcit dipenuhi orang yang berebut-rebut membeli makanan kering seperti telur dan sardin.

“Adik beritahu kebanyakan barang di sebuah kedai runcit di sini sudah habis,” katanya di sini hari ini.

Ibu kepada lima anak, Norzilah Nordin, 43, dia terus ke sebuah pasar raya dekat sini untuk membeli bekalan makanan selepas mendengar pengumuman tentang PKPD itu.

“Alhamdulillah, semua barang keperluan itu ada yang mana ketika saya mula sampai tadi pun orang masih tidak ramai tetapi apabila mahu pulang, jumlah pelanggan semakin bertambah dan mereka diminta beratur untuk masuk,” ujarnya.

Sementara itu seorang peniaga, Mohd. Hafifi Zulkifli, 35, tidak menyangka perlu beratur agak panjang untuk memasuki pasar raya berhampiran rumahnya di Pumpong, dekat sini.

“Agak terkejut juga tengok orang dah mula ramai sedangkan tempoh masa saya datang ke sini tidaklah terlalu lewat selepas pengumuman dibuat menteri,” katanya.

Tambahnya, rata-rata pekerja di Kedah bekerja separuh hari pada semalam dan mereka mengambil kesempatan untuk membeli stok bekalan makanan. -K! ONLINE

The post Penduduk Kota Setar serbu pasar raya appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *