Pencemaran disyaki dari Sungai Batang Benar, NS

SHAH ALAM – Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi yang terpaksa dihenti tugas dikesan berpunca daripada pencemaran di Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam ciapan twitter rasminya memaklumkan punca pencemaran tersebut adalah sejauh 30 kilometer dari LRA Sungai Semenyih.

“Saya telah berhubung dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun untuk bersama menyelesaikan isu ini,” katanya.

Terdahulu, beliau telah melawat LRA Sungai Semenyih bagi meninjau situasi pencemaran bersama Menteri Alam Sekitar dan Air , Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Saya mohon maaf terpaksa keluar dari kuarantin malam ini untuk menyelesaikan isu pencemaran yang memberi kesan pd rakyat Selangor.

“Namun saya mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai ‘face shield’, ‘face mask’ juga kedua-dua ujian saringan saya menunjukkan keputusan negatif,” ciapnya lagi.

Sementara itu, Lembaga Urus Air Selangor dalam kenyataan malam ini memberitahu, bau sehingga 4 ton dikesan di muka sauk LRA Sungai Semenyih dan 3 ton di Bukit Tampoi.

“LUAS telah mengaktifkan Kod Merah berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan
secara menyeluruh di kawasan terlibat.

“Pihak Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan (BKSA N9) juga telah dimaklumkan untuk bersama-sama menjalankan siasatan di kawasan Negeri Sembilan,” katanya.

Kosmo! Online melaporkan seramai 309,605 akaun pengguna di 273 kawasan akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 4 wilayah iaitu wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang. -K!ONLINE

The post Pencemaran disyaki dari Sungai Batang Benar, NS appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *