Pembantu penguatkuasa KPDNHEP didakwa terima rasuah RM8,000

Oleh ASLIZA MUSA

IPOH – Seorang pembantu penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan menerima suapan berjumlah RM8,000, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Shaikhul Athar Abdullah, 37, membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan, penjawat awam yang bertugas di KPDNHEP Perak yang ketika itu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)
telah secara rasuah menerima suapan wang tunai berjumlah RM8,000 daripada pemilik pusat hiburan, Fan Kar Weng.

Rasuah tersebut sebagai upah untuk menutup kes ke atas Kar Weng yang disiasat pada tahun 2014 atas kesalahan menjual arak tiruan di dua buah premis miliknya di Twenty Six Fun Club dan Twenty Six Leisure Lounge di Jalan Sultan Iskandar Shah, Ipoh.

Tertuduh didakwa menerima suapan itu di dalam kereta Mercedes Benz di kawasan parkir di Restoran Thumb’s Cafe di Jalan Sultan Abdul Jalil di sini pada pukul 10.30 malam, 30 Mei 2017.

Pada prosiding sama, Shaikhul Athar turut didakwa secara rasuah bersetuju menerima suapan RM8,000 daripada lelaki sama atas kesalahan serupa di Greentown, Ipoh pada pukul 8.53 malam, 25 Mei 2017.

Pertuduhan ke atas lelaki itu masing-masing dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta sama.

Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah butiran palsu yang dapat dinilai atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Amirul Ridzuan Haniff.

Terdahulu, Nurul Wahida menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM dan dokumen perjalanannya diserah kepada SPRM.

Bagaimanapun, Amirul Ridzuan memohon agar jaminan dikurangkan dengan alasan bahawa tertuduh mempunyai komitmen keluarga di mana menanggung isteri dan dua anak serta ibu yang uzur.

Tertuduh yang merupakan anak tunggal juga perlu dijamin bagi membolehkan menguruskan hal kematian ayahnya yang meninggal dunia akibat kanser, semalam.

Hakim Indra Nehru kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 4 November ini untuk kes itu disebut semula. – K! ONLINE

The post Pembantu penguatkuasa KPDNHEP didakwa terima rasuah RM8,000 appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *