Pembantu jurutera maut balik rumah

Oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

KLANG – Seorang pembantu jurutera maut ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas motosikal ditungganginya terbabas sebelum melanggar belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Jalan Pelabuhan Barat di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang, Faris Hazwan Abdul Hafiz, 20, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Dash sedang menghala pulang ke rumahnya di Telok Gong dari tempat kerjanya di Shah Alam.

Katanya, mangsa yang menunggang motosikal secara pelahan dalam kesesakan jalan raya dipercayai secara tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas.

“Mangsa kemudiannya telah melanggar bahagian belakang 4WD jenis Mitsubishi Triton Lite yang dipandu lelaki berusia 33 tahun.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa yang cedera parah di bahagian kepala meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jelas Shamsul Amar, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -K! ONLINE

The post Pembantu jurutera maut balik rumah appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *