Pemancing mati lemas di Sungai Karangan

Oleh AZAHAR HASHIM

KULIM – Seorang pemancing mati lemas selepas  dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Karangan di Kampung Sungai Karangan di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa, Abdul Hadi Ghazali, 26, dikatakan diserang sawan sebelum tergelincir ke dalam sungai.

Mayat mangsa dari Kampung Keda Bagan Sena, Labu Besar di sini itu ditemui anggota Pasukan Penyelamat di Air kira-kira pukul 6.55 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang lelaki lain yang berada di kawasan mangsa memancing.

Kata beliau, lelaki terbabit mendakwa dia bersama beberapa individu ternampak mangsa di dalam sungai sebelum tenggelam.

“Dia kemudian melaporkan kejadian di Balai Polis Sungai Karangan sebelum kita meminta bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hitech,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Azhar memberitahu,  motosikal dan peralatan memancing milik mangsa ditemui di tebing sungai.

“Mayat mangsa ditemui di dasar sungai kira-kira pukul 6.54 petang ini,” ujarnya.

Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat.

Sementara itu bapa saudara mangsa, Ishak Mat Isa, 30, tahun berkata, mangsa mempunyai sejarah penyakit sawan.

“Kali terakhir saya bertemu arwah pada Ahad lalu yang mana dia datang ke rumah saya di Kampung Kuala Sedim untuk memancing,” katanya. – K! ONLINE

The post Pemancing mati lemas di Sungai Karangan appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *