Pemain tidak boleh cepat selesa – Hafiz

KUALA LUMPUR – Penyerang skuad hoki negara, Muhammad Hafiz Zainol tidak bimbang dengan rombakan barisan pemain yang bakal dilakukan ketua jurulatih baharu, Arul Selvaraj selepas tamat saingan Piala Tun Abdul Razak bulan depan.

Hafiz percaya kedudukannya tidak akan tergugat sekiranya dia berjaya menampilkan prestasi cemerlang dalam sesi latihan selain bersama negerinya, Pahang sepanjang kejohanan Piala Tun Abdul Razak dari 18 hingga 26 September ini.

Justeru, pemain berusia 27 tahun itu mengesa rakan-rakan sepasukan yang lain supaya tidak cepat berasa selesa walaupun nama sudah berada dalam kem latihan sekarang, sebaliknya cuba memikat hati Arul apabila mewakili negeri masing-masing bulan depan.

“Jika berlaku perubahan dalam barisan pemain, ia sesuatu yang bagus kerana pemain sedia ada tidak mudah berasa selesa dan masing-masing akan berusaha memastikan tempat mereka dalam pasukan.

“Apa yang penting, setiap pemain perlu membuktikan mereka adalah yang terbaik dan saya sendiri perlu berusaha mempertahankan tempat dalam pasukan,” katanya selepas tamat sesi latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil di sini hari ini.

Penyerang Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu turut menyifatkan Arul sebagai pengendali yang mempunyai pengalaman luas yang mampu membantu memantanpkan skuad Malaysian Tigers selepas ini.

Arul yang telah tiba di Kuala Lumpur dari Dublin, Ireland tiga hari lalu, kini menjalani tempoh kuarantin wajib 14 hari dan dijangka mula menyertai sesi latihan skuad kebangsaan pada 25 Ogos ini. – K! ONLINE

The post Pemain tidak boleh cepat selesa – Hafiz appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *