Peluang Gergasi Merah 50-50 malam esok

KUALA LUMPUR – Pemain tengah Selangor, Abdul Halim Shaari sedia memberikan prestasi terbaik sekiranya diturunkan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim malam esok.

Halim, 25, mungkin mendapat peluang disenaraikan ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan dalam kesebelasan utama bagi mengisi kekosongan Brendan Gan yang digantung satu perlawanan selepas menerima kad merah ketika menentang Melaka United pada Jumaat lalu.

“Semua rakan-rakan pemain dalam pasukan Selangor termasuk saya sudah bersedia sepenuhnya untuk diturunkan bermain pada bila-bila masa sahaja.

“Ia bergantung kepada taktikal jurulatih tetapi sebagai pemain, saya bersedia 100 peratus dari segi mental dan fizikal untuk menjalankan tugas saya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada masa sama, pemain kelahiran Kedah itu menyifatkan peluang yang seimbang buat skuad Gergasi Merah berdepan JDT walaupun lawan itu masih belum tewas daripada tujuh perlawanan Liga Super setakat ini.

“Saya rasa 50-50 walaupun kita tahu JDT sangat gah apabila bermain di laman sendiri dan semua juga sedia maklum tentang kekuatan keseluruhan mereka.

“Namun, apa sahaja boleh berlaku dalam dunia bola sepak,” jelas adik kepada bekas perancang Kedah, Ahmad Fauzi Shaari yang pernah menjuarai Liga Super dan Piala Malaysia bersama Helang Merah pada 2006/2007 dan 2007/2008.

Sebagai rekod, Selangor kini menduduki tangga keenam dengan 10 mata hasil dua kemenangan dan empat seri serta satu kekalahan dalam tujuh perlawanan. – K! ONLINE

The post Peluang Gergasi Merah 50-50 malam esok appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *