Pelajar tingkatan 4 maut, seorang lagi cedera parah motosikal bertembung lori balak

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

LIPIS – Seorang pelajar sekolah maut manakala seorang lagi cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori balak di Kilometer 14 Jalan Benta-Jerantut di sini, hari ini.

Dalam kejadian pukul 2 petang itu, pembonceng motosikal berkenaan, Nurin Nadhirah Ikhwan Nassir, 16, maut di lokasi kejadian manakala penunggangnya pula, Ainnur Shamimie Karim, 15, mengalami kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang dalam perjalanan dari arah Benta ke Jerantut itu ingin memotong sebuah motosikal lain.

Katanya, ketika memotong motosikal mangsa dikatakan memasuki sedikit ke laluan lori lalu berlaku pertembungan.

“Akibat kemalangan ini, pembonceng motosikal maut di tempat kejadian manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan.

“Mayat mangsa di hantar ke Hospital Lipis untuk bedah siasat manakala mangsa cedera dirawat di hospital sama,” katanya di sini hari ini.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dilakukan. – K! ONLINE

The post Pelajar tingkatan 4 maut, seorang lagi cedera parah motosikal bertembung lori balak appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *