Pelabur perlu hubungi bank semak kadar pembiayaan rendah

KUALA LUMPUR – Pelabur Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang mengambil pembiayaan saham amanah itu  dinasihatkan agar menghubungi bank masing-masing bagi menerima kadar pembiayaan yang lebih rendah, selaras dengan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

 Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) berkata, peminjam berpeluang menerima kadar pembiayaan yang lebih rendah kerana penurunan OPR memberi kesan kepada Kadar Asas (KA) dan Kadar Pembiayaan Asas (KPA) yang menentukan kadar pembiayaan ASB yang dikenakan oleh pihak bank. 

“Sekiranya pelabur masih belum menerima pengurangan dalam kadar pembiayaan mereka, kami menasihatkan pelabur agar segera menghubungi pihak bank menyemak semula kadar pembiayaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

 ASNB menjelaskan, pihaknya juga telah mewujudkan pusat khidmat nasihat pembiayaan ASB yang boleh dihubungi melalui pusat khidmat pelanggan ASNB di talian 03-7730 8899 untuk membantu pelabur  menyemak semula strategi dan struktur pembiayaan masing-masing. 

“Mereka hanya perlu menghubungi nombor berkenaan untuk mendapatkan khidmat nasihat yang berkaitan,” katanya. 

BNM telah mengurangkan OPR sebanyak 4 kali pada tahun ini, iaitu pada bulan Januari, Mac, Mei dan yang terbaharu pada 7 Julai yang lalu. 

Secara keseluruhannya, OPR telah diturunkan sebanyak 1.25 peratus untuk tahun 2020.

Penurunan tersebut telah menjadikan OPR, yang menjadi penanda aras rujukan kadar pinjaman tempatan, kini berada pada paras terendah dalam sejarah iaitu pada kadar 1.75 peratus. 

Dua OPR telah diturunkan sebagai sebahagian usaha untuk terus merangsang pertumbuhan ekonomi negara berikutan kesan negatif Covid-19 kepada persekitaran ekonomi global. 

Pengurangan kadar pembiayaan ini bakal memberi impak kepada kedudukan kewangan peminjam untuk jangka panjang dan mampu mengurangkan beban kewangan peminjam dalam keadaan yang sukar ini.  

The post Pelabur perlu hubungi bank semak kadar pembiayaan rendah appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *