Pegawai kanan polis ditahan ketika berhibur

PETALING JAYA – Padah berhibur di sebuah pusat hiburan sehingga melebihi waktu dibenarkan, seorang pegawai kanan polis ditahan dalam satu serbuan di Kelana Jaya di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan terdapat sebuah pusat hiburan masih lagi beroperasi termasuk bilangan pelanggan yang ramai kira-kira pukul 2 pagi.

“Susulan maklumat diterima, dua anggota unit kereta peronda (MPV) dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti telah melakukan pemeriksaan dan mendapati premis berkenaan masih beroperasi serta dipenuhi pelanggan.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, seorang pelanggan telah menghampiri anggota bertugas dan memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis yang bertugas di Kontinjen Selangor.

“Lelaki berkenaan kemudiannya telah mencetuskan provokasi dengan cara menghina serta cuba mengugut anggota polis MPV yang sedang menjalankan tugas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Nik Ezanee, lelaki berkenaan kemudiannya ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(No.7)(Pindaan)2020.

“Semakan yang dilakukan mendapati lelaki berusia 39 tahun yang mendakwa sebagai pegawai kanan polis itu masih lagi bertugas di salah sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah di Kontinjen Selangor.

“Saya memberi peringatan keras kepada semua terutama sekali anggota Polis Diraja Malaysia serta agensi-agensi penguatkuasa agar terus berdisiplin dan tidak mengganggu petugas yang sedang melaksanakan tugas malah tindakan disiplin juga undang-undang akan diambil tanpa mengira pangkat atau kedudukan,” tegas beliau.- K!ONLINE

The post Pegawai kanan polis ditahan ketika berhibur appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *