PDRM rampas rokok seludup bernilai RM6.1 juta

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan enam individu warga tempatan sekali gus melumpuhkan satu sindiket pengedaran rokok seludup dalam dua serbuan berasingan di sekitar Johor dan Negeri Sembilan, Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata, pihaknya turut berjaya merampas sebanyak 8.1 juta batang rokok tiruan pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM6.1 juta.

“Serbuan dilakukan di Masai, Johor dan Kilometer 271.5 kawasan Rehat Dan Rawat (R&R) Seremban oleh anggota dan pegawai dari Cawangan Perisikan Dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas (PGK) JKDNKA, susulan maklumat yang disalurkan oleh orang awam.

“Pada serbuan pertama, seramai lima lelaki warga tempatan telah ditahan dan polis turut merampas sebanyak 4,100,000 batang rokok seludup pelbagai jenama bernilai kira-kira RM3 juta ringgit termasuk dua buah lori,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Acryl Sani, susulan kejayaan serbuan pertama pihak polis kemudiannya telah dibawa ke lokasi kedua dan telah berjaya menahan sebuah lori tujuh tan yang dipandu seorang lagi lelaki warga tempatan berusia 40 tahun.

“Pemeriksaan yang dilakukan telah menemui sebanyak 4,050,000 batang rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM3 juta.

“Semakan mendapati salah seorang daripada suspek yang ditahan memiliki rekod jenayah lampau dan lima suspek serbuan pertama kini ditahan reman sehingga 15 Ogos depan manakala seorang lagi suspek direman sehingga 14 Ogos ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, jumlah keseluruhan rampasan dalam dua serbuan terbabit dianggarkan bernilai RM6,332,500

“Semua suspek ditahan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” tegas beliau. – K! ONLINE

The post PDRM rampas rokok seludup bernilai RM6.1 juta appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *