PBS MAHU KERUSI PAGINATAN, HARAP STAR BERI LALUAN

KOTA KINABALU: Penyertaan bekas naib presiden UPKO, Datuk Abidin Madingkir ke dalam STAR nampaknya belum menjamin tempat beliau untuk terus mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan selepas PBS turut menyatakan hasrat bertanding di situ.

Ketua Bahagian PBS Paginatan, Datuk Dr Othman Minuddin, dalam kenyataannya, hari ini, berkata majlis tertinggi parti itu telah membuat keputusan untuk memasukkan kawasan berkenaan dalam senarai kerusi yang akan ditandingi mereka pada PRN nanti.

“Susulan keputusan yang dibuat pada 8 Ogos itu juga, PBS Paginatan telah mengadakan mesyuarat bagi membentuk jentera pilihan raya di kawasan itu.

“PBS mengambil maklum yang STAR juga berhasrat untuk bertanding di Paginatan namun saya harap mereka akan memberi peluang kepada PBS kerana saya yakin dengan kerjasama erat STAR, ia akan memberi kelebihan kepada calon daripada PBS,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Kenyataan itu dipercayai dibuat susulan kemasukan Abidin ke dalam STAR, baru-baru ini.

Abidin sebelum ini bertindak berpaling tadah untuk menyokong Tan Sri Musa Aman sebagai ketua menteri pada penghujung bulan lalu.

Bagaimanapun usaha itu gagal selepas ketua menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN pada 30 Julai lalu.

Othman berkata, STAR sebelum ini telah dua kali bertanding di Paginatan dan adalah rasional jika memberi laluan pula kepada PBS untuk bertanding di situ.

“PBS Paginatan yakin jika kerjasama politik dapat dibentuk dengan STAR, maka kami juga boleh membantu calon-calon STAR di kawasan yang tidak ditandingi PBS nanti,” katanya.

Beliau turut mengimbas kembali sejarah parti itu yang mula bertanding di semua kerusi dalam parlimen Ranau sejak 1985.

“Bagaimanapun selepas PBS menyertai BN pada 2002, maka pada PRU12, parti ini mengambil keputusan untuk tidak bertanding lagi di kawasan itu bagi memberi laluan kepada rakan komponen ketika itu, iaitu UPKO.

“Kini UPKO bukan lagi rakan politik PBS dan oleh itu, sudah tiba masanya kami bertanding semula di Paginatan untuk menentang UPKO yang dijangka ingin mengekalkan kedudukan mereka di situ,” katanya.-http://beritasabah.com

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *