Pasangan positif Covid-19 lari tinggalkan anak di hospital

KOTA BHARU – Polis sedang menjejaki pasangan suami isteri Orang Asli yang dipercayai positif Covid-19 selepas mereka melarikan diri dari Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pasangan terbabit dari Kampung Pos Tohoi, Gua Musang disedari melarikan diri meninggalkan anak mereka yang dilahirkan 25 hari lalu di hospital berkenaan selepas bayi itu disahkan positif Covid-19.

Katanya, kejadian disedari berlaku kira-kira pukul 9.30 malam selepas pihak hospital menyedari ibu bayi itu, Elina Aling, 33, tiada di wad berkenaan.

Ujarnya, wanita itu melarikan diri ketika jururawat hospital berkenaan datang untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 terhadap pasangan berkenaan selepas anak mereka disahkan positif Covid-19.

“Ketika itu, pasangan terbabit berada di wad Unit Rawatan Rapi Bayi (NICU). Selepas menyedari mereka tiada di wad, pihak hospital telah mencari mereka, namun gagal dikesan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan lawatan di Pasar Siti Khadijah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Shafien, jururawat berusia 41 tahun yang ditugaskan untuk membuat ujian saringan Covid-19 terhadap pasangan itu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai semalam.

Katanya, selepas menerima laporan, polis melancarkan gerakan mengesan pasangan terbabit agar mereka dapat menjalani ujian saringan Covid-19.

“Anggota Unit Peronda (MPV) dan semua pihak dari Balai Kuala Krai sedang berusaha mengesan pasangan terbabit agar mereka tidak menjadi individu yang menjangkiti orang lain.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai pasangan terbabit diharap tampil memberi bantuan atau menghubungi pihak polis,” katanya.

Tambah Shafien, kes disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988/270 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

The post Pasangan positif Covid-19 lari tinggalkan anak di hospital appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *