Pahang mahu rampas gelaran juara

KUALA LUMPUR – Pahang bertekad menamatkan penantian tiga tahun untuk kembali bergelar juara Piala Tun Abdul Razak kategori wanita sejak menewaskan Angkatan Tentera Malaysia 4-0 pada final edisi 2016.

Bagaimanapun, ia bukan satu tugas mudah buat Pahang kerana bakal berhadapan juara bertahan, Selangor pada aksi final edisi 2020 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil esok.

Apatah lagi, Selangor yang akan membuat penampilan di peringkat akhir selama empat musim berturut-turut, pernah mengecewakan Pahang dengan kemenangan 5-2 sewaktu final edisi 2017.

Ketua jurulatih Pahang, Mohamad Sabri Mohamad menyifatkan, anak-anak buahnya sudah bersedia untuk merampas semula kejuaraan tersebut meskipun sedar peluang seimbang buat kedua-dua pasukan.

“Tak mustahil untuk kami kalahkan Selangor tetapi peluang sebenarnya 50-50 buat kedua-dua pasukan. Cumanya pasukan yang ambil peluang dan menjaringkan gol, pasukan itu akan menang.

“Kami menghormati Selangor selaku juara bertahan tetapi kami juga bersemangat untuk menewaskan mereka. Ini masa yang sesuai untuk kami rampas semula gelaran juara,” katanya.

Kemenangan 10-1 ke atas Negeri Sembilan pada aksi terakhir Kumpulan X hari ini secara tidak langsung meningkatkan motivasi para pemain Pahang untuk menewaskan Selangor pada final esok.

Bintang skuad kebangsaan, Nuraini Abdul Rashid berjaya meledak hatrik diikuti dua gol masing-masing daripada Nur Shazwani Zakaria dan Ain Nurshara Ali dalam perlawanan itu.

Baki tiga lagi gol Pahang dijaringkan oleh bekas kapten pasukan kebangsaan, Siti Noor Amarina Ruhani, Wan Norfaiezah Md. Saiuti dan Nur Aisyah Che Musa. – K! ONLINE

The post Pahang mahu rampas gelaran juara appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *