Operasi tiga cawangan UMWT kini dipindah kepada pengedar

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD.NOR

KUALA LUMPUR – UMW Toyota Motor (UMWT) semalam mengumumkan operasi tiga cawangannya di Lembah Klang, Sabah dan Sarawak kini dipindah kepada pengedar.

Menurut Presiden UMWT, K. Ravindran, cawangan di Kota Kinabalu akan diambil alih Borneo Mobility (Sabah) Sdn. Bhd. dan Boneo Mobility (Sarawak) akan mengambil cawangan di Kuching.

Katanya, PCM Subang Motor Sdn. Bhd. pula akan mengambil alih operasi cawangan di Subang Jaya.

“Adalah penting bagi kami untuk terus mencapai tahap kepuasan pelanggan yang tertinggi.

“Langkah ini akan membolehkan kami untuk memberi tumpuan terhadap aktiviti-aktiviti yang lebih penting seperti pembangunan produk, pemasaran dan sokongan rangkaian pengedar, sementara pihak pengedar pula boleh menumpukan usaha mereka untuk memenuhi kepuasan pelanggan dengan lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, pihaknya bekerja dengan lebih dekat bersama pengedar-pengedar ketika ini untuk menzahirkan visi UMWT bagi menjayakan konsep Best In Town.

Katanya, konsep itu bermaksud untuk memberi lebih tumpuan bagi aspek layanan individu terhadap pelanggan.

“Pengumuman ini menjanjikan fasa yang lebih menarik bagi sokongan terhadap pelanggan seperti yang diamalkan UMWT selama ini.

“Ia juga bermanfaat untuk merancakkan lagi semangat keusahawanan yang lebih kuat dalam lingkungan ekonomi tempatan,” jelasnya.

Untuk maklumat lanjut berkaitan rangkaian jualan dan lepas jualan Toyota serta lokasinya boleh melayari laman toyota.com.my atau hubungi talian bebas tol 1800-8-869682. – K! ONLINE

The post Operasi tiga cawangan UMWT kini dipindah kepada pengedar appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *