Noh nafi gambar bagi wang kepada pengundi Slim

Oleh NOR AZIHAN MD. GHAZALI

KUALA SELANGOR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar menafikan sekeras-kerasnya tuduhan beliau mengagihkan wang tunai kepada pengundi ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Dakwaan agihan itu susulan gambar beliau memegang wang di hadapan orang ramai yang tular di laman sosial dan aplikasi WhatsApp dengan melabelkan tindakan Noh itu sebagai ‘PRK Slim-Cash is King’.

Noh menegaskan gambar yang tersebar itu adalah gambar lama ketika menjawat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Gambar yang digunapakai itu adalah ketika saya mengagihkan sumbangan bantuan awal persekolahan dalam sebuah program anjuran Kementerian Pendidikan di sebuah sekolah.

“Sangat sangat kesal dan terkilan apabila gambar tersebut digunapakai dengan menuduh saya mengagihkan duit kepada pengundi di DUN berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Tanjung Karang di sini hari ini.

Sebanyak lima laporan polis dilakukan oleh Noh yang merupakan Ahli Parlimen Tanjong Karang bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian itu, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Mengulas lanjut, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu menjelaskan mengetahui tuduhan itu kira-kira pukul 9.30 pagi dan 4.30 petang ketika berada di kediamannya.

“Saya sangat terkejut dengan tohmahan berkenaan. Ia boleh menimbulkan huru-hara kepada rakyat dan juga negara dengan fitnah yang tersebar.

“Justeru itu, saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas kepada pihak yang tidak bertanggungjawab itu agar perkara sama tidak berulang,” ujarnya. – K! ONLINE

The post Noh nafi gambar bagi wang kepada pengundi Slim appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *