Nama Stacy trending dalam Twitter

PETALING JAYA – Nama penyanyi Stacy Anam tiba-tiba menjadi sohor kini dalam Twitter sejak semalam selepas didakwa cemburukan seorang wanita bernama Jade yang sepatutnya muncul dalam muzik video Rampas nyanyian Akim & The Majistret.

Perkara tersebut tercetus selepas Jade tidak berpuas hati babaknya dalam muzik video berkenaan dibuang atas alasan isteri kepada vokalis kumpulan Akim & The Majistret iaitu Stacy cemburu.

Pendedahan tersebut mendapat perhatian sehingga ramai netizen dalam kalangan rakyat Malaysia berpendapat Jade tidak sepatutnya membangkitkan isu yang sudah lapuk.

Rata-rata netizen menyifatkan Jade yang juga seorang model itu sebagai gila glamor kerana mengungkit kembali isu yang berlaku pada 2018.

“Ini kisah tahun 2018, kenapa perlu dibangkitkan kembali. Gila populariti agaknya,” ciap seorang netizen.

Selain itu, terdapat juga pengguna Twitter berpendapat Jade memutar-belit mesrj yang dihantar seorang individu kepadanya berhubung isu tersebut.

“Dia ini terus membuat kesimpulan dengan mengatakan isteri Akim cemburu sedangkan dalam mesej tersebut cuma cakap isteri penyanyi itu tidak menyukainya.

“Bagi saya, Stacy ada hak untuk menolak babak berkenaan kerana dia yang menulis lirik lagu itu,” ujar seorang netizen bernama @alexxyoe.

Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Stacy berkenaan isu tersebut.

Bagaimanapun, pelantun lagu Khayalan itu memuat naik sebuah video yang memaparkan dia dan Akim sedang merakam lagu.

Malah, kapsyen yang ditulisnya juga seperti memberi bayangan tentang isu tersebut yang masih berlegar dalam media sosial sejak semalam.

“Selamat ulang tahun kita kahwin sayang! Saya punya laki (suami) kan? Jadeyyy?,” tulisnya.

Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad, 30, mendirikan rumah tangga bersama Stacy atau Ummu Syaikhah Stacy Anam, 31, pada 4 Februari 2016.

Kosmo! semalam turut melaporkan Jade mendedahkan tangkap layar mesej yang memaparkan seorang individu yang terlibat dalam proses pembikinan muzik video Rampas memaklumkan babak lakonannya telah dibuang kerana isteri kepada vokalis kumpulan itu tidak menyukainya.

Tampil menjelaskan keadaan sebenar, Akim berkata tindakan memadam babak tersebut bagi menghormati mesej lirik lagu berkenaan yang berkisarkan tentang ibunya, Allahyarham Aminah Bahari yang meninggal dunia pada tahun 2018. – K! ONLINE

The post Nama Stacy trending dalam Twitter appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *