Biarpun kepimpinan Pas Pusat masih boleh berlapang dada selepas tidak diberi peluang meletakkan calonnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini, tidak bagi petugas Harakah.
Wartawan veteran Harakah, Aziz Muda menyelar tindakan Muafakat Nasional (MN) mengetepikan Pas yang sebelum ini berhasrat untuk bertanding 10 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau bahkan merujuk makna muafakat dalam Kamus Dewan yang tegasnya bermaksud seia sekata atau setuju.
“Muafakat jika dirujuk kepada Kamus Dewan bermaksud seia sekata atau setuju. Jika muafakat itu dalam kerangka yang besar hingga ke peringkat nasional, ia dipanggil Muafakat Nasional (MN).
“Dalam PRN Sabah tahun 2020 sekarang, aku tak nampak MN kerana Pas ternyata diketepikan sama sekali,” hujahnya dalam hantaran di Facebook.
Sehubungan itu, wartawan berpengalaman lebih 30 tahun berkenaan mengaitkan kubur sebagai lokasi hala tuju permuafakatan dalam MN.
Aziz mengingatkan perasaan ahli Pas yang terguris ekoran rundingan agihan kerusi antara parti rakan di Sabah yang tidak adil itu.
“Justeru aku bertanya, pihak berkenaan hendak bawa ke mana MN ini sebenarnya? Hendak dibawa ke kuburkah?
“Jangan difikir ahli-ahli Pas tidak terasa dengan apa yang dilakukan itu. Ia ternyata satu bentuk muafakat yang cukup tidak adil, tidak setia kawan dan amat memedihkan,” luahnya.
Dalam reaksinya terhadap salah satu komentar di hantaran itu, Aziz menganggap Pas diperalat semasa kempen PRN seolah-olah ahli-ahli parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu tidak mempunyai perasaan.
“Lepas tu sama-sama nak harapkan Pas untuk bantu (kempen PRN). Nak pergunakan Pas tapi dalam masa yang sama sama-sama ketepikan Pas.
“Ahli-ahli Pas manusia, tetap ada hati dan perasaan,” keluhnya lagi.