Moonchild dinobatkan juara COS

Budak-budak SPM gah julang nama Negeri di Bawah Bayu

KECIL-KECIL cili padi. Itulah kehebatan pasukan Mobile Le­gend Negeri di Bawah Bayu, Sabah yang hanya mempertaruhkan barisan pemain yang masih bersekolah di tingkatan 5 untuk bergelar pasukan negeri terbaik menjulang mahkota Clash Of State Mobile Legends (COS).

Kejohanan COS merupakan pertandingan antara negeri yang pertama diadakan dan menampilkan hadiah dalam bentuk permainan terkumpul bermula musim kelayakan sebanyak 350,000 diamonds.

Terdapat 14 pasukan yang mewakili setiap negeri berentap pada Clash of District Qualifier iaitu kelayakan peringkat daerah dan Clash of District Finals yakni kelayakan peringkat negeri yang dianjurkan pada bulan lepas.

Selepas pertarungan sengit di peringkat daerah dan negeri, 14 pasukan teratas setiap ne­geri meneruskan pertarungan di pentas besar COS yang diadakan pada 22 hingga 23 Ogos lalu secara atas talian.

Sebanyak empat pasukan berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir COS iaitu Moonchild (Sabah), Apex Revenant (Sela­ngor), Level (Sarawak) dan Dunhill Gaming (Melaka). Pada perlawanan akhir, Moonchild menewaskan pasukan Apex Revenant untuk muncul juara COS.

Ketua pasukan Moonchild, Mohamad Affendi Chua Abdillah mengakui mereka tidak sangka menjuarai saingan itu meskipun tiga daripada lima ahli pasukan itu berusia 17 tahun yang bersiap sedia menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Rata-rata pemain kami masih bersekolah dan paling muda berusia 15 tahun. Saya tidak jangka kami mampu menjulang kemenangan dan dinobatkan sebagai pasukan negeri terbaik.

“Kami tidak mempunyai masa kerana sebahagian pasukan kami masih bersekolah. Mereka juga hanya berlatih seminggu sekali kerana perlu bersedia untuk peperiksaan percubaan SPM.

“Kami tidak mahu memisahkan pelajaran dan e-Sukan kerana dua-dua elemen ini sa­ngat pen­ting. Saya bangga kerana budak sekolah ini setanding de­ngan pemain profesional,” katanya yang menetap di Kota Kinabalu.

Mohamad Affendi juga me­ngakui perjalanan pasukannya untuk bergelar juara tidak mudah.

“Meskipun berdepan keka­ngan masa dan kewangan, ia tidak mematahkan semangat kami untuk berjuang habis-habisan. Ini kerana rata-rata kami bukan daripada keluarga senang bahkan ada yang masih bersekolah.

“Kami akui tiada sumber kewangan yang cukup untuk membeli telefon canggih seperti pasu­kan-pasukan lain. Adakalanya kami terpaksa berhenti sekejap kerana telefon rosak dan panas sebelum menyambung semula permainan keesokan hari.

“Kemenangan ini permulaan ang baik dan kami harap mampu jadi pasukan hebat dan beraksi di pentas dunia,” tambahnya.

Mohamad Affendi atau dikenali sebagai How Oh tidak menolak jika menerima tajaan daripada pihak swasta dan bersedia memberi kerjasama.

“Kami pernah dapat tawaran tetapi sukar untuk kami melengkapkan kehendak sesetengah pihak. Mereka minta kami bermain secara sepenuh masa, namun perlu faham pemain kami masih bersekolah. Kami terpaksa tolak tawaran tersebut.

“Mungkin bukan rezeki kami dan saya percaya peluang masih terbentang luas,” ujarnya.

The post Moonchild dinobatkan juara COS appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *