Mohammad Shatar Sabran dilantik CEO MQA baharu

PUTRAJAYA – Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, 54, dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) baharu berkuat kuasa mulai 8 Februari ini sehingga 7 Februari 2024.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan, beliau menggantikan Prof. Datuk Dr. Husaini Omar yang telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT) pada 1 Februari lalu.

KPT dalam satu kenyataan berkata, Mohammad Shatar memiliki kepakaran khusus dalam bidang kepimpinan dan pembangunan komuniti serta telah menerbitkan lebih 40 buah buku dan lebih dari 171 penerbitan dalam bentuk jurnal, buku, modul dan artikel berkaitan.

KPT berkata, Mohammad Shatar memulakan karier dalam bidang pendidikan di Jabatan Sains Sosial, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 1994 sebagai tutor, sebelum dilantik sebagai pensyarah di Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan di fakulti yang sama dari tahun 1999 hingga 2004.

“Seterusnya beliau dilantik ke jawatan Profesor Madya pada tahun 2008 dan ke jawatan Profesor pada tahun 2013.

“Beliau kemudiannya menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM pada 15 Mac 2013 sebelum dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 24 Februari 2017,” katanya hari ini.

Menurut KPT, Mohammad Shatar telah menerima pelbagai anugerah dari dalam dan luar negara antaranya Extra Ordinary Performance Award daripada Iowa State University dan Anugerah Emas, Inovasi dan Penyelidikan Dalam Kaunseling 2010.

“Beliau juga pernah merangkul Anugerah Outstanding Contributions to Education 2017 dari The Golden Globe Tiger Awards; dan Anugerah International Education Awards 2018 (IEA ‘18) daripada Ink. Edu Media,” katanya.

KPT berkata, Mohammad Shatar mempunyai Diploma dalam bidang General Studies di Indiana University of Bloomington, Amerika Syarikat.

“Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian pada peringkat Sarjana Muda dan Sarjana dalam bidang Community and Regional Planning di Iowa State University dan memiliki Ijazah Kedoktoran dalam bidang Leadership and Community Development di University of Missouri Amerika Syarikat, “katanya.

Sementara itu, Menteri KPT, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, beliau yakin Mohammad Shatar akan terus memacu transformasi MQA ke arah pencapaian visi sebagai agensi berautoriti global dalam kelayakan dan jaminan kualiti pendidikan tinggi,” katanya.-K!ONLINE

The post Mohammad Shatar Sabran dilantik CEO MQA baharu appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *