MKN putuskan tamat, lanjut tempoh PKPD Kota Setar

Oleh MOHD RAFIE AZIMI

JITRA – Keputusan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran Kota Setar akan dilanjutkan atau tidak hanya boleh diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

PKPD Kota Setar yang dikuatkuasakan sejak 11 September lalu susulan wabak Covid-19 bagi Kluster Sungai dan Telaga dijadualkan berakhir pada Jumaat ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tempoh PKPD tersebut juga  bergantung pada hasil ujian saringan kedua yang akan dilakukan kepada penduduk terlibat.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kita tidak berhasrat untuk menyambung PKPD kerana hanya mereka yang tinggal di kawasan itu tahu betapa azabnya terpaksa berkurung di rumah dalam tempoh tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Maahad Tahfiz Darul Ulum Ar-Rahimiyah di sini hari ini yang terbakar pada Jumaat lalu dengan kerugian kira-kira RM100,000.

Kata Muhammad Sanusi, keputusan berhubung tempoh PKPD Kota Setar akan dibuat MKN berdasarkan syor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas meneliti hasil ujian saringan kedua tersebut.

“Keputusan muktamad lanjutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan tidak berada di tangan kita sebaliknya bergantung kepada keputusan ujian saringan kedua dijalankan KKM nanti,” katanya.

Tambahnya, setakat ini tiada perbincangan diadakan dengan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kedah berhubung perkara tersebut.

Sebelum ini, PKPD di Zon Melor, di Ambangan Heights, Amanjaya dekat sini dilanjutkan setelah ujian saringan kedua dijalankan di kawasan itu pada 9 September lalu mengesan 12 kes baharu positif Covid-19.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menempelak pihak tertentu yang dilihat lebih gemar bermain politik berhubung usaha kerajaan negeri memerangi Covid-19 berbanding sama-sama menghulurkan bantuan buat mereka memerlukan.-K! ONLINE

The post MKN putuskan tamat, lanjut tempoh PKPD Kota Setar appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *