Minta campurtangan Sultan berhubung peniaga asing

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

SHAH ALAM – Lambakan peniaga warga asing di Selangor mengakibatkan 25 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memohon campurtangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Nazilah Idris berkata, aduan berkaitan peniaga warga asing banyak diterima terutama di Seri Muda, Puchong, Klang dan Sungai Buloh.

“Kami sebagai peniaga dan usahawan di negeri ini terkesan kerana warga asing ini sepatutnya bekerja tetapi mereka pula menjalankan perniagaan secara berleluasa.

“Malah, peniaga juga terpaksa berdepan dengan kerenah birokrasi pihak penguat kuasa yang tidak tegas membiarkan warga asing menyalah guna permit. Ini seolah-olah peniaga warga asing ini kebal daripada undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Gabungan NGO Selangor menyerahkan Memorandum Membantah Kebanjiran Peniaga Warga Asing di Selangor yang ditandatangani 25 NGO kepada Sultan Selangor yang disampaikan kepada Pegawai Pengiring Tentera Sultan Selangor, Kapten Ahmad Ramli Kardi di Istana Bukit Kayangan di sini.

Antara wakil pertubuhan bukan kerajaan yang hadir adalah 99 Kesan, Pertubuhan Integriti Nasional dan Pemantau Malaysia.

Mengulas lanjut, Nazilah menggesa siasatan segera pihak berkuasa berhubung sindiket pernikahan palsu yang membawa ajaran sesat oleh warga Bangladesh dan Rohingya di Taman Seri Muda, Seksyen 25 di sini sebelum ini.

“Sindiket tersebut memperdaya wanita warga tempatan untuk berkahwin dan menggunakan nama mereka bagi mendapatkan lesen perniagaan sekaligus memudahkan menjalankan perniagaan,” katanya. -K!ONLINE

The post Minta campurtangan Sultan berhubung peniaga asing appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *