Menu Mi Jeluok percuma untuk anak yatim, asnaf

Oleh AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Seorang pengusaha kedai makan berkongsi rezeki dengan anak yatim dan golongan kurang berkemampuan atau asnaf untuk hadir dan menikmati menu Mi Jeluok di kedainya di Kampung Sungai Kepa, di sini setiap bulan.

Pemilik kedai Citarasa Kak Nie, Nik Azmani Nik Par, 41, berkata, hidangan istimewa di kedainya itu diberi secara percuma kepada dua golongan terpilih itu.

Menurutnya, setiap bulan anak yatim atau asnaf akan berpeluang merasai makanan di kedainya itu.

Katanya, meskipun sumbangan kepada golongan berkenaan tidak seberapa, namun masakan menggunakan air tangannya itu diharapkan dapat memberi keceriaan kepada golongan terbabit.

“Sejak saya terlibat dalam bidang perniagaan makanan, saya memang berniat ingin bersedekah dengan rezeki yang saya dapat.

“Adakalanya dengan duit kita tidak mampu bagi banyak, jadi sambil berniaga kita bersedekah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Nik Azmani berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang perniagaan makanan bersyukur apabila menu di kedainya terutamanya Mi Jeluok menjadi tarikan penduduk di daerah ini.

Katanya, hidangan mi itu menjadi tarikan kerana terdapat pelbagai campuran lauk pauk berasaskan makanan laut.

“Saya bersyukur apabila jualan mi ini mendapat permintaan tinggi apabila tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan pelanggan.

“Saya memberi nama mi jeluok kerana makanan itu banyak memenuhi mangkuk dan penuh dengan campuran lauk pauk seperti ayam, sotong, udang serta ketam,” katanya.-K! ONLINE

The post Menu Mi Jeluok percuma untuk anak yatim, asnaf appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *