Melaka sasar pelaburan RM100 bilion

MELAKA – Pembangunan koridor ekonomi baharu di negeri ini yang bakal dikenali sebagai Me­laka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) dijangka dapat menarik pelaburan bernilai RM100 bilion menjelang tahun 2035.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, perancangan itu membabitkan pembangunan tiga buah pelabuhan bertaraf dunia yang akan dilaksanakan di kawasan tambak sejauh 20 kilometer.

Katanya, antara pembangunan yang bakal menjadi mercu tanda ekonomi negeri adalah Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) bagi hab perkhidmatan industri minyak dan gas, Pelabuhan Tanjung Bruas (hab pelabuhan kontena) dan Melaka Gateway sebagai hab International Cruise Terminal (MICT).

“Pewujudan tiga pelabuhan itu bakal merancakkan lagi ekonomi negeri yang dijangka mencecah RM10 bilion selain membuka lebih 6,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Koridor baharu ini akan dilaksanakan melalui inisiatif pihak swasta dan kerajaan,” katanya pada sidang akhbar selepas me­rasmikan Seminar Melakaku Maju Jaya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini semalam.

SULAIMAN (kiri) bersama peserta Seminar Melakaku Maju Jaya di MITC.

 

Menurut Sulaiman, perancangan pembangunan stesen hentian bagi perkhidmatan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dari Kuala Lumpur ke Singapura juga bakal menyumbang kepada kemajuan ekonomi di sekitar koridor tersebut.

Tambahnya, pembangunan koridor itu adalah sebahagian daripada Pelan Pembangunan Komprehensif Hala Tuju Melaka Lestari menjangkau tahun 2035.

“Pembangunan ini terbahagi kepada tiga fasa pertama iaitu pelan jangka pendek dari tahun 2020 hingga 2025, bagi fasa kedua, pelan jangka sederhana (tahun 2020 hingga 2030) dan fasa ketiga, pelan jangka panjang (2020 hingga 2035).

“Ia juga termasuk dalam 17 indikator baharu, iaitu Matlamat Pembangunan Lestari de­ngan visi ‘Menuju Negeri Lestari’ selaras dengan hala tuju Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam menuju masa depan dunia yang lebih baik dan mampan,” katanya.

Terdahulu, seminar selama dua hari itu yang disertai lebih 200 peserta membabitkan wakil daripada pelbagai agensi kerajaan dan pakar berkaitan bagi memberikan pandangan hala tuju yang direncanakan.

The post Melaka sasar pelaburan RM100 bilion appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *