MBI jalankan operasi tangkap anjing liar

Oleh ZAKI SALLEH

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menjalankan operasi menangkap anjing liar di Taman Sri Tambun di sini pada Ahad dan Isnin lalu susulan kejadian seorang kanak-kanak yang patah tiga batang gigi kerana terjatuh semasa mengelak dikejar dua haiwan itu.

Operasi yang dilakukan oleh anggota penguat kuasa MBI itu turut diadakan di dua kawasan perumahan berdekatan iaitu di Desa Tambun dan Puncak Tambun Indah.

Ahli Majlis MBI bagi kawasan tersebut, Puteri Holijah Muhamad Rali berkata, operasi pertama dijalankan di kawasan tersebut pada Ahad lalu dan sebanyak tujuh ekor anjing liar berjaya ditangkap.

Menurut beliau, haiwan-haiwan berkenaan kemudian dilepaskan di Tapak Pelupusan Sampah Papan yang terletak kira-kira 22 kilometer dari situ pada hari yang sama.

“Operasi tangkapan kedua pula dilakukan keesokan harinya bagi mengesan saki baki anjing terbiar yang masih berkeliaran di kawasan tersebut.

“Manakala anjing bermilik pula dinasihatkan untuk dikurung di dalam kandang atau diikat supaya tidak membahayakan orang awam di taman perumahan tersebut,” ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini.

Puteri Holijah memberitahu, pihaknya juga telah bertemu dengan bapa kanak-kanak malang itu berhubung aduan beliau tentang masalah anjing liar di taman perumahan berkenaan.

Dalam kejadian pada Sabtu lalu, mangsa, Muhammad Rayyan Ihsan Nazarfitri, 9, mengalami kecederaan setelah terjatuh akibat terlanggar cermin rumah jirannya kerana mengelak dikejar dua ekor anjing yang berkeliaran di taman tersebut.

Ekoran kecederaan itu, kos rawatan sebanyak RM30,000 diperlukan bagi menjalani rawatan susulan di hospital berikutan kehilangan tiga batang gigi selain kecederaan pada gusi. – K! ONLINE

The post MBI jalankan operasi tangkap anjing liar appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *