Maut terjatuh tangki kumbahan minyak panas

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID

JASIN – Seorang pekerja kilang pemprosesan kelapa sawit di Rim, Jasin maut selepas terjatuh ke dalam tangki kumbahan minyak panas di kilang berkenaan pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan, berkata kejadian berlaku pukul 11.24 pagi, ketika mangsa lelaki warga Bangladesh dikenali Md Abdul Manan Molla, 39, sedang bekerja sebelum terjatuh.

“Siasatan tempat kejadian mendapati mangsa terjatuh ke dalam kolam kumbahan minyak panas dari atas bumbung semasa sedang melakukan kerja pemasangan paip bomba.

“Proses membawa naik mayat memakan masa lebih kurang tiga jam kerana kolam kumbahan dipenuhi minyak panas sebelum mayat berjaya dinaikkan pada jam kira-kira 2.45 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, ketika kejadian, rakan mangsa memaklumkan hanya mendengar bunyi dentuman kuat dan melihat mangsa sudah tiada di atas bumbung dan terdapat kesan lubang di atas bumbung tersebut.

“Siasatan juga mendapati mangsa merupakan pekerja kontrak yang menjalankan kerja-kerja pemasangan paip bomba lebih dua bulan.

“Kes diklasfikasikan sebagai kes mati mengejut dan tiada unsur jenayah kerana mangsa terjatuh dan tergelincir dalam tangki panas dengan ketinggian 4.5 meter,” ujarnya.

Sementara itu, Pakar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli, ketika ditemui ditempat kejadian berkata pihak bomba terpaksa mengambil masa yang lama untuk mengeluarkan mangsa kerana keadaan minyak yang panas.

“Suhu minyak panas kira-kira 60 darjah celcius menyebabkan kita perlu lebih berhati-hati supaya tidak membahayakan keselamatan bomba.

“Kita juga perlu berhati-hati menarik mayat ke atas kerana tidak mahu merosakkan keadaannya,” katanya. – K! ONLINE

The post Maut terjatuh tangki kumbahan minyak panas appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *