Mati dihempap runtuhan rak bertingkat pasar raya

BRASILIA – Seorang pekerja maut selepas dihempap beberapa rak barangan bertingkat di dalam sebuah pasar raya di utara Brazil, lapor Daily Mail hari ini.

Seramai lapan individu termasuk pekerja dan pelanggan disahkan cedera dalam insiden di dalam Pasar Raya Mateus Atacarejo Mix di bandar Sao Luis, malam Jumaat lalu.

Mangsa yang disahkan meninggal dunia dikenal pasti sebagai Elane de Oliveira Rodrigues, 21, dan baru memulakan kerja di situ kira-kira tiga bulan lalu.

Rodrigues sedang menyusun barang di laluan antara rak sebelum runtuhan berlaku yang menyebabkan dia tertimbus di bawah pelbagai barangan termasuk makanan dan peralatan mesin logam.


Enam mangsa yang berada di tempat sama didapati cedera dan diselamatkan petugas kecemasan. Mereka dibawa ke hospital sebelum dibenarkan pulang.

Dua mangsa lain yang diselamatkan orang ramai, mengalami luka melecet dan dibenarkan pulang ke rumah dari lokasi kejadian.

Insiden berlaku semasa gedung peruncitan itu dipenuhi pelanggan kira-kira pukul 8.15 malam (waktu tempatan).

Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan susunan rak bertingkat penuh dengan pelbagai produk itu jatuh seperti teori kesan domino.

Orang ramai melarikan diri sebalik melihat runtuhan berlaku kemudian bergegas kembali untuk mencari mana-mana mangsa di bawah timbunan barangan dan rak.

Seorang lelaki dilihat menarik seorang kanak-kanak kecil dari bawah runtuhan rak dan mendukung membawanya keluar.

Orang ramai membentuk rantaian manusia dan membantu memindahkan barangan untuk membantu pencarian mangsa di bawah runtuhan.

Pasukan anggota bomba, polis dan perkhidmatan ambulans (SAMU) bergegas ke lokasi selepas menerima laporan.

Kumpulan Mateus dalam satu kenyataan berasa kesal dengan insiden itu dan bersedia menghulurkan bantuan kepada mana-mana mangsa.

Kumpulan Mateus ialah pengendali rantaian pasar raya terbesar di bandar itu. Pihak pengurusan kemudiannya mengesahkan salah seorang kakitangannya terbunuh dalam kejadian itu.

Satu siasatan penuh sedang dijalankan oleh pegawai keselamatan dan kesihatan serta polis. – Agensi

The post Mati dihempap runtuhan rak bertingkat pasar raya appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *