Masdiana minta maaf isu air

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

SHAH ALAM – Ketika rakyat gelisah dibelenggu krisis gangguan bekalan air, kediaman Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagaimanapun menerima layanan istimewa yang menimbulkan kemarahan netizen.

Isu itu timbul selepas isteri pemimpin itu, Datin Seri Masdiana Muhamad memuat naik gambar lori tangki air Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) berada di kediaman rasmi tersebut dan ahli keluarganya mandi di kolam renang tular di media sosial sejak semalam.

Keadaan itu jelas mengguris hati rakyat negeri ini dan menerima kecaman netizen yang kesal dengan tindakan tersebut.

Ia menyebabkan Masdiana membuat permohonan maaf di laman sosial, Facebook miliknya hari ini dengan mengakui kekhilafannya namun menafikan lori tangki dihantar untuk memenuhkan kolam renang di kediaman rasmi itu.

“Assalamualaikum dan salam sejahtera…Saya menyedari kekhilafan di pihak saya memuat naik gambar tersebut yang menimbulkan banyak tafsiran.

“Sebagai seorang ibu saya cuma ingin menyampaikan rasa berterima kasih kepada petugas barisan hadapan Air Selangor yang bertungkus lumus sejak beberapa hari lepas, bukannya niat untuk bermegah-megah.

“Saya memohon maaf sekiranya tindakan tersebut mendatangkan sebarang bentuk salah tafsir dan mengguris perasaan mana-mana pihak,” katanya.

Ujarnya, beliau akan bersama petugas barisan hadapan Air Selangor untuk membantu penduduk di kawasan yang belum menerima bekalan air terutama golongan ibu dan warga emas.

Terdahulu, posting dibuat Masdiana di akaun Instagram miliknya itu tular antaranya memaparkan tangki Air Selangor di depan rumahnya.

“Terima kasih Air Selangor kerana menghantar air.

“Saya faham anda merupakan petugas barisan hadapan sekarang. Semoga Allah memberkati,” kata Masdiana pada keterangan gambar tersebut.-K! ONLINE

The post Masdiana minta maaf isu air appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *