Maritim Malaysia patahkan cubaan seludup 500kg daun ketum

Oleh NUR NAZLINA NADZARI

KANGAR – Cubaan seorang lelaki tempatan disyaki tekong untuk menyeludup 500 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM10,000 ke negara jiran melalui jalan laut berjaya dipatahkan Maritim Malaysia (APMM) hari ini.

Suspek berusia 40 tahun itu ditahan selepas dikesan menghala sempadan negara dengan sebuah bot fiber kira-kira pukul 2.33 pagi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd. Shafie Paing berkata, pihaknya menerima maklumat tentang sebuah bot dalam keadaan mencurigakan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui unit Unmanned Aircraft Systems (UAS).

“Pasukan APMM yang sedang dalam tugas Op Benteng Laut mengesan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran di perairan negeri ini pada jarak kira-kira 0.9 batu nautika barat Kuala Perlis,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kata beliau, bot itu yang menghala sempadan negara didapati menukar haluan ke arah darat sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa, namun berjaya dipintas anggota APMM.

“Suspek kemudian bertindak terjun ke dalam laut dengan meninggalkan bot sebelum berenang melarikan diri ke darat sebelum berjaya ditangkap,” ujarnya.

Menurut Mohd. Shafie, pemeriksaan ke atas bot itu menemui 50 bungkusan plastik mengandungi daun ketum yang disyaki mahu diseludup ke Satun, Thailand.

“Selain daun ketum, kita turut merampas  bot fiber dan enjin sangkut dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM20,000,” jelasnya.

Ujar beliau, modus operandi penyeludupan ketum yang digunakan tekong itu adalah keluar ketika air laut mula surut pada awal pagi.

“Ini memudahkan penyeludup mengambil kesempatan struktur bot fiber yang lebih mudah bergerak dalam keadaan berlumpur berbanding bot milik penguat kuasa,” katanya. – K! ONLINE

The post Maritim Malaysia patahkan cubaan seludup 500kg daun ketum appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *