Mandi peluh tangkap ular tedung

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID

ALOR GAJAH – Tiga anggota anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Alor Gajah bermandi peluh kira-kira 30 minit sebelum berjaya menangkap seekor ular tedung selar bersarang berhampiran rumah penduduk di Kampung Panchor, di sini pagi ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kapten (PA) Aljibin Suddin berkata, pihaknya menerima aduan berkenaan ular berkenaan pukul 7.25 pagi sebelum tiga anggota bergegas ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi anggota bertugas memeriksa lokasi reptilia itu ditunjukkan pengadu.

“Pengadu memberitahu ular berkenaan masuk ke dalam lubang di bawah pokok namun pencarian menemui ular itu bersembunyi di dalam timbunan daun kering.

“Ular tedung sepanjang tiga meter dan seberat 10 kilogram cukup aggresif dan cuba mematuk sebelum berjaya ditangkap oleh anggota menggunakan alat penjerut ular,” katanya.

Beliau berkata, operasi penangkapan ular berkenaan selesai jam 8.30 pagi dan dibawa ke Pejabat Pertahanan Awam Alor Gajah untuk tindakan lanjut dan diserah kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai tidak bertindak sendiri menangkap haiwan termasuk ular berbisa di kawasan kediaman mereka dan segera menghubungi APM di talian 999 untuk bantuan,” katanya. – K! ONLINE

The post Mandi peluh tangkap ular tedung appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *