MADIUS: UPKO SEDIA BANTU TAWAN KEMABONG

TOMANI, KEMABONG: Semangat dan aspirasi Wakil Rakyat pertama Tenom, mendiang Datuk Tingkalur Lampag terserlah dalam usaha parti Kerajaan Sabah menawan DUN Kemabong.

“Saya teruja melihat semua yang hadir sangat bersemangat. Wakil UPKO Datuk Tingkalur menang pada awal 60-an di sini yang dahulunya dipanggil DUN Tenom.

“Hari ini, beliau menjadi inspirasi UPKO untuk siap siaga serta akan bekerja keras supaya DUN Kemabong ini menjadi milik kita. Ini perjuangan dan doa kita,” kata presiden Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

“Kita akan berjaya seandainya UPKO, Warisan, DAP dan Parti Keadilan Rakyat satu hati, bekerjasama jitu,” tambah beliau.

UPKO Tenom dibawah kepimpinan Datuk Dr Lucas Umbul sudah bertapak sejak sekian lama, meneruskan perjuangan pemimpin terdahulu iaitu Datuk Tingkalur, mendiang Datuk Jinuin Jimin, mendiang Datuk Apisong Ambuli dan Biou Suyan, kata beliau.

“Datuk Lucas berkhidmat sebagai cikgu di Kemabong selama 20 tahun. Isteri beliau, Datin Flora Pingai pula memang berasal dari Kemabong. Jentera kita juga sudah tersusun indah untuk membantu memenangkan siapa pun juga calon parti Kerajaan di sini,” tegas beliau.

Madius berkata demikian kepada media yang meminta beliau mengulas ucapan dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya di Dewan Kampung Kuala Tomani di sini.

TERIMA KASIH …. Madius menyampaikan lukisan potret Datuk Tingkalur kepada Ayub dalam majlis itu.

Dalam ucapan alu-aluan, Lucas berkata UPKO Tenom mempunyai hubungan yang erat dengan semua parti kerajaan.

“Kalau UPKO diberikan peluang, kami penuh yakin akan memenangi DUN Kemabong ini. Mohon iringan doa,” kata beliau.

Majlis itu dimeriahkan lagi dengan kemasukan 960 ahli baru dari pelbagai kaum termasuk Tionghua.

Madius juga menyampaikan penghargaan dan cenderakenangan kepada keluarga Datuk Tingkalur melalui anak beliau, Ayub.

SOKONGAN PADU …. seramai 960 orang menyertai UPKO termasuk ahli perniagaan Tham Tham Yau Siong

DUN Kemabong dimenangi calon UMNO, Jamawi Jaafar pada 2018 namun kemudian menyertai Warisan. Beliau adalah antara wakil rakyat yang keluar dan menyokong bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman pada akhir Julai lalu.

Turut hadir dalam majlis itu wakil YB Norita Sual dari DAP, Naib Presiden UPKO Datuk Pengiran Lalong dan Ketua Penerangan UPKO Albert Bingkasan.-http://beritasaba.com

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *