Luqman terbang ke Belgium hari ini

Oleh SUBKHI SUDARJI

SEPANG – Penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin dijangka berlepas ke Belgium pukul 2.05 pagi ini untuk menyertai kelab baharunya, KV Kortrijk.

Pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 11.15 malam tadi sebelum mendaftar masuk di kaunter H.

Keberangkatan Luqman Hakim diringi bapanya, Shamsudin Mahmood dan ibunya, Hasmah Che Soh serta ahli keluarga terdekat yang turut memberi sokongan sebelum beliau berangkat ke Belgium.

Kata Luqman Hakim, dia berasa gembira namun sedih pada masa sama kerana terpaksa meninggalkan keluarga.

“Semestinya saya gembira dan bersemangat, dalam hati semua ada. Tidak dinafikan juga sedih untuk tinggalkan keluarga.

“Tapi saya tidak boleh terlalu sedih kerana mak dan ayah saya pun sokong saya dan memang niat saya nak pergi sana untuk bantu keluarga.

“Sebelum ini saya pergi dengan pasukan, tapi kali ini saya pergi seorang diri. Jadi sekarang saya kena matang, kerana ini cabaran besar buat saya,” katanya ketika ditemui di KLIA sebentar tadi.

Luqman Hakim berkata, dia dijangka melapor diri bersama KV Kortrijk selepas 14 hari proses kuarantin di Belgium.

Terdahulu, beliau menandatangani kontrak lima tahun bersama kelab itu pada Khamis lalu. – K! ONLINE

The post Luqman terbang ke Belgium hari ini appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *