Limpahan air projek punca kem PGA Hulu Kinta dilanda banjir kilat

Oleh ZAKI SALLEH

IPOH – Hujan lebat selama dua jam petang semalam menyebabkan Markas Pasukan Gerakan Am (PGA) Hulu Kinta di sini digenangi banjir kilat akibat dilimpahi air lumpur yang memenuhi beberapa kawasan di dalam kem tersebut.

Antaranya padang kawad, kawasan lapang tempat meletak kenderaan, pintu masuk serta jalan utama ke kem yang tidak boleh dilalui kenderaan ringan akibat banjir kilat.

Markas PGA Hulu Kinta yang menjadi kediaman kira-kira 2,000 warga polis serta keluarga mereka menempatkan Briged Utara PGA, Pusat Latiha PGA dan Markas 69 Komando.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kinta, Halizah Sipun berkata, kejadian banjir kilat itu bagaimanapun tidak membabitkan kediaman di dalam kem berkenaan.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat awal pihaknya dimaklumkan bahawa kejadian tersebut berpunca daripada projek Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Beberapa kawasan taman berhampiran turut dilanda banjir kilat iaitu Taman Tanjung Mas, Hulu Kinta dan Desa Putra Indah.

“Kedua-dua kawasan ini hanya berlaku banjir kilat dan ia juga kawasan banjir, tetapi di kem PGA Hulu Kinta ini kali pertama berlaku banjir,” katanya.

Beliau berkata, difahamkan limpahan air daripada projek JKR berkenaan telah melalui kawasan yang terjejas yang menjadi punca air lumpur melimpahi kawasan kem.

“Sungguhpun begitu, semalam hujan terlalu lebat melebihi daripada biasa, justeru kita perlu juga melihat faktor lain yang menyumbang kepada kejadian banjir itu,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri memberitahu, pihaknya memantau kejadian banjir kilat yang berlaku di sekitar Tanjung Rambutan dan Hulu Kinta tetapi sehingga kini tiada keluarga dipindahkan. – K! ONLINE

The post Limpahan air projek punca kem PGA Hulu Kinta dilanda banjir kilat appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *