Lima termasuk empat beradik kes Sungai Gong ke Penjara Bentong

SELAYANG – Lima termasuk empat beradik yang merupakan pengarah bengkel jentera berat yang terlibat dengan pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang tidak dibenarkan ikat jamin oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Syafeera Mohd. Said membuat keputusan itu selepas mendengar dan menimbang hujah permohonan bagi jaminan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Dalam prosiding itu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Iskandar Ahmad tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan tersebut tidak boleh diikat jamin selain kesalahan yang dilakukan serius.

“Dalam kes ini telah menyebabkan seramai enam juta penduduk di Selangor yang mana mereka terpaksa beratur untuk mengambil air selama lima hari. Isu ini juga  telah mendapat perhatian pucuk pimpinan teratas,” katanya.

Bagaimanapun, mereka yang diwakili peguam Datuk M. Reza Hassan merayu jaminan yang rendah dengan alasan kesemua tertuduh memberi kerjasama yang baik dengan pihak polis.

“Semasa kejadian anak-anak guam saya yang menyerah diri ke balai polis selain mereka juga bersedia untuk menyerah pasport ke mahkamah jika jaminan diberikan,” katanya.

Terdahulu kesemua tertuduh iaitu empat beradik Yip Kok Wai, 52, Yip Kok Mun, 58, Yip Kok Kuin, 50, Yip Kok Weng, 60, dan seorang lagi lelaki Ho Voon Leong, 59, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan khianat dan melepaskan bahan buangan berbahaya tanpa lesen ke sungai itu.

Mengikut pertuduhan pertama kelima-lima tertuduh didakwa dengan niat bersama telah melakukan khianat  dengan menyebabkan buangan yang mengandungi bahan berbahaya dari Bengkel Yip Chee Seng&Sons Sdn. Bhd.

Bahan berbahaya itu dilupuskan ke dalam alur air yang mana akan mengalir ke dalam Sungai Gong, Rawang dengan mengetahui bahawa ia akan mungkin akan menyebabkan susut bekalan air bagi maksud minuman manusia.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34  yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan niat bersama telah melepaskan bahan buangan sama dari bengkel sama tanpa lesen yang didakwa mengikut Seksyen 25(1) dan boleh boleh dihukum dibawah Seksyen 25(3) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di premis Yip Chee Seng&Sons Sdn. Bhd. Lot 4219, Jalan Batu Arang, Kampung Sungai Dua, Rawang di sini antara 2 hingga 3 September lalu.

Tarikh 27 Oktober depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes.

Sebelum itu kesemua tertuduh tiba di mahkamah pada pukul 8.45 pagi dan kemudian dibawa polis ke Penjara Bentong, Pahang pada pukul 11.05 minit pagi selepas selesai prosiding pendakwaan.

Ekoran pencemaran minyak dari bengkel tersebut, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.K!ONLINE

The post Lima termasuk empat beradik kes Sungai Gong ke Penjara Bentong appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *