Lelaki maut kereta bertembung pacuan empat roda

Oleh AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 43, Jalan Musang-Kuala Krai di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, mangsa, Asmadi Awang, 44, dari Kampung Bukit Pagar, Kuala Krai maut di lokasi kejadian selepas tersepit di dalam kereta jenis Proton Waja yang dipandunya.

Pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, Muhammad Azrul Amri Che Aziz, 24, dan penumpangnya, Khalil Yaacub, 34, hanya mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu sendirian sedang dalam perjalanan dari arah Gua Musang ke Kuala Krai.

Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian pemandu kenderaan itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan.

“Insiden itu menyebabkan pemandu kenderaan pacuan empat roda yang berada di laluan bertentangan tidak sempat membrek lalu bertembung dengan kereta dipandu mangsa.

“Akibat daripada pertembungan itu, mangsa maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan,” katanya.

Mohd. Taufik berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Gua Musang di sini untuk proses bedah siasat.

Katanya, dua orang mangsa yang cedera pula dihantar ke Klinik Chiku 3, sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.  – K! ONLINE

The post Lelaki maut kereta bertembung pacuan empat roda appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *