Lelaki maut kemalangan lima kenderaan

Oleh IVAN AMIRUL

TAWAU – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan jalan raya melibatkan lima kenderaan di Kilometer 65, Jalan Tawau-Kunak hari ini.

Dalam kejadian sekitar 8 pagi itu, mangsa, Mohd. Hamzah Baddu, 49, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai ekoran kecederaan parah selepas tersepit pada kenderaan jenis Proton Gen 2 dipandunya.

Mangsa dipercayai dalam perjalanan daripada Tawau ke Kunak bersama empat kenderaan lain masing-masing dipandu tiga lelaki dan seorang wanita dalam kemalangan hang turut membabitkan sebuah lori treler itu.

Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian, sebuah kenderaan jenis Proton Wira yang berada di hadapan kenderaan mangsa dikatakan cuba mengelak seekor anjing mengakibatkan kenderaan itu memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah lori treler dari arah bertentangan.

Keadaan kemalangan di jalan Tawau-Kunak hari ini.

Berikutan rempuhan itu, lori terbabit terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh kenderaan dipandu Mohd. Hamzah dan menyeretnya beberapa meter.

Keadaan itu menyebabkan Mohd. Hamzah tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi, mengesahkan kejadian berkenaan.

Peter berkata, selain tiga kenderaan terbabit, kemalangan turut melibatkan dua kenderaan lain jenis Perodua Myvi dan sebuah lagi Proton Wira, masing-masing dipandu seorang wanita dan lelaki.

“Pemandu Wira yang cuba mengelak anjing itu patah pada buku lali kaki kiri manakala tiga yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Proton Wira yang mendakwa cuba mengelak anjing yang mengakibatkan kemalangan berlaku.

“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan anggota bomba bertugas sebelum mayatnya dihantar ke hospital untuk bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

The post Lelaki maut kemalangan lima kenderaan appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *