Lelaki maut digilis lori

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut apabila motosikal dinaikinya dirempuh sebuah lori sebelum badannya digilis dalam satu kemalangan di Jalan Sembilang, Taman Pasir Putih, dekat sini pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, mangsa yang berusia 58 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Ismail Dollah berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave dari arah Taman Pasir Putih menghala ke Medan Selera Jalan Sembilang.

“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa berada di lorong kiri hendak membelok ke kiri dalam masa sama lori di belakangnya turut membelok ke lorong yang sama.

“Akibatnya, lori tersebut terlanggar bahagian kanan belakang motosikal itu menyebabkan mangsa terjatuh di bahagian tengah lalu digilis tayar belakang lori berkenaan.

“Perlanggaran tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan disahkan meninggal di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ismail berkata, mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati keadaan jalan merupakan simpang tiga dan permukaan jalan dalam keadaan baik.

“Siasatan lanjut masih diteruskan. Polis menasihati semua penguna jalanraya supaya lebih berhati-hati semasa memandu dan semasa menunggang,” katanya.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE.

The post Lelaki maut digilis lori appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *