Lelaki lembam hilang sejak 12 Ogos lalu

Oleh KHAIRUL MOHD. ALI

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki berusia 30 tahun yang mempunyai masalah lembam dilaporkan hilang daripada rumah sewanya di Flat Taman Johor Jaya, di sini sejak 12 Ogos lalu.

Lelaki tersebut, Muhamad Ekral Abdul Rahim dipercayai keluar meninggalkan rumah berkenaan pada waktu malam, ketika semua rakan serumahnya telah tidur.

Kakak mangsa, Mas Ayu Abdul Rahim memberitahu, sebaik menyedari kehilangan mangsa, ahli keluarga dan rakannya berusaha mencari namun masih buntu.

“Saya dimaklumkan dia telah hilang pada 12 Ogos lalu apabila rakan serumah menyedari dia tidak berada di rumah ketika mereka semua bangun dari tidur.

“Kami semua risau kerana tempat itu baru bagi dia. Saya berharap orang ramai yang menemuinya boleh membuat laporan di balai polis atau terus berhubung dengan kami,” katanya.

Difahamkan, Muhamad Ekral yang merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik itu berasal dari Batu Kurau, Perak dan tiba di negeri ini pada 8 Ogos lalu untuk bekerja sebagai pekerja penyelenggaraan.

Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Taman Johor Jaya pada hari kejadian dan usaha menjejaki mangsa masih dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran atau kakak mangsa ditalian 017-9696243. – K! ONLINE

The post Lelaki lembam hilang sejak 12 Ogos lalu appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *