Lelaki jumpa tulang milik Jenkins terima imbuhan

Oleh NOOR HASLIZA NUSI

GEORGE TOWN – Seorang pekerja tapak pembinaan menerima sagu hati daripada ahli keluarga wanita warga Australia, Anna Jenkins selepas berjaya menemui tulang dan barang peribadi milik mangsa pada 24 Jun lalu.

Peguam yang mewakili keluarga Jenkins, S. Raveentharan berkata, ahli keluarga wanita itu bagaimanapun tidak membenarkan jumlah wang itu didedahkan kepada umum.

“Identiti lelaki berusia 30-an itu juga tidak boleh didedahkan bimbang akan keselamatan dirinya selain mengganggu siasatan polis.

“Kami diberi amanah untuk menyerahkan sejumlah wang yang diberi anak lelaki wanita itu, Greg Jenkins minggu lalu kepada individu terbabit,” katanya kepada pemberita di sini tadi.

Hadir sama ialah Peguam, Jason Ong Khan Lee yang turut mewakili keluarga Jenkins.

Justeru, beliau memberitahu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan wanita warga Austalia itu diminta melaporkan di Balai Polis berhampiran.

“Kami menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara terperinci sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut. Ini kerana kes kehilangan dan kematian wanita itu mengundang pelbagai persoalan,” ujarnya.

Pada 14 Ogos lalu, Greg, 40, dalam satu sidang akhbarnya di sini memohon pihak polis menjalankan siasatan secara telus berhubung kematian wanita warga Australia itu di negeri ini.

Sebelum itu, pada 11 Ogos lalu, polis Pulau Pinang mengesahkan penemuan tulang pinggul manusia yang ditemui di kawasan hutan tepi Race Course, Jalan Batu Gantung di sini pada 24 Jun lalu sah milik Jenkins.

Hasil perbandingan DNA terhadap sampel tulang manusia dan anak lelaki wanita terbabit menunjukkan keputusan positif.

Pada 14 Disember 2017, polis telah menerima satu laporan kehilangan Jenkis, oleh suaminya setelah mendapati wanita terbabit tidak pulang ke bilik hotel selepas mendapatkan rawatan pergigian di Pulau Tikus sehari sebelum itu. – K! ONLINE

The post Lelaki jumpa tulang milik Jenkins terima imbuhan appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *