Lelaki ditahan miliki ketum, ubat batuk

Oleh NUR NAZLINA NADZARI

ARAU – Seorang lelaki yang sedang leka mengutip daun ketum terkejut apabila diserbu polis di sebuah rumah di Jalan Tambun Tulang, Kampung Tengah Banat di sini hari ini.

Dalam serbuan kira-kira pukul 12.10 tengah hari itu, polis turut merampas daun ketum seberat satu kilogram dan 44 botol ubat batuk.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, suspek mengaku bahawa daun ketum serta ubat batuk tersebut adalah miliknya dan untuk kegunaan sendiri.

“Siasatan mendapati suspek mempunyai rekod lampau dan pernah dihukum di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, lelaki terbabit didapati negatif dadah dan kes disiasat di bawah  Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Sementara itu, menurut Nanda, pihaknya turut menahan seorang lagi lelaki kerana memiliki dadah jenis methamphetamine di Jalan Jejawi di sini kira-kira pukul 11.30 pagi ini.

Beliau berkata, suspek berusia 38 tahun yang memandu kereta jenis Proton Saga ditahan unit rondaan bermotosikal kerana dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan menemui dua peket lutsinar berisi ketulan kristal disyaki methamphetamine dengan anggaran berat 2.3 gram dalam beg kecil berwarna hitam,” katanya.

Tambahnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.

“Suspek disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya. -K! ONLINE

The post Lelaki ditahan miliki ketum, ubat batuk appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *