Lelaki ditahan lupus kenderaan curi di bengkel sendiri

KUALA LUMPUR – Berselindung di sebalik bengkel baiki kenderaan.

Itu taktik licik seorang lelaki cuba melindungi aktiviti jenayah melupuskan barangan curi di bengkel miliknya di Jalan Klang Lama di sini.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 30 tahun itu akhirnya terbongkar selepas sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfield menyerbu premis tersebut kira-kira pukul 12.30 tengah hari Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfield, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd. Zainuddin berkata, serbuan tersebut dilakukan selepas pihaknya menerima satu laporan berkaitan kehilangan sebuah kereta jenis Proton Iswara daripada seorang lelaki.

Menurutya, berdasarkan laporan pengadu, kereta terbabit dilaporkan hilang ketika diletakkan berdekatan sebuah bank di Jalan Klang Lama pada Ogos tahun lalu.

“Susulan laporan daripada pengadu berusia 27 tahun itu, sepasukan anggota dan pegawai kemudiannya menyerbu sebuah bengkel membaiki kenderaan di Jalan Klang Lama.

“Hasil serbuan itu, kita telah menahan seorang lelaki yang juga pemilik bengkel dan telah menemui tiga buah enjin motosikal serta sebuah enjin kereta jenis Proton Iswara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zairulnizam berkata, enjin kereta tersebut dipercayai milik kereta pengadu yang dilaporkan hilang pada Ogos tahun lalu.

Ujarnya, siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah curi kenderaan serta baru beberapa hari keluar dari penjara.

“Lelaki berkenaan kini direman selama tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan,” ujarnya. – K! ONLINE

The post Lelaki ditahan lupus kenderaan curi di bengkel sendiri appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *