Lega pasukan Kelantan ada pemilik baharu

“INI yang ditunggu-tunggu kalau benar ia berlaku.”

Demikian luahan kapten Kelantan, Mohd. Farisham Ismail berhubung dakwaan mengatakan pakar pelaburan terkenal, Norizam Tukiman bakal menjadi pemilik baharu pasukan bola sepak The Red Warriors (TRW) itu.

Difahamkan, usahawan yang lebih dikenali sebagai Zamsaham itu bakal memeterai perjanjian dengan Team Red Wariors Sdn. Bhd. dalam satu majlis menandatangani penjualan saham TRW di sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan pada hari ini.

Sehubungan itu, Farisham, 35, menjelaskan, ia satu berita yang cukup melegakan semua pemain dan barisan kejurulatihan Kelantan jika benar-benar menjadi kenyataan bakal mendapat pemilik baharu hari ini.

“Kalau betul, ia sangat baik untuk pasukan sebab mungkin segala masalah sebelum ini dapat diselesaikan. Memang sesuatu yang sangat melegakan.

“Pada masa sama, semua pemain perlu bekerja keras untuk mendapatkan keputusan positif dan membuktikannya kepada pasukan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Justeru, tonggak pertahanan itu juga berharap dapat mencapai tahap kecergasan sepenuhnya secepat mungkin supaya kembali turun padang untuk membantu Kelantan selepas terpaksa berehat sebulan kerana kecederaan lutut kanan baru-baru ini.

“Saya rindu mahu turun padang bermain bola sepak semula, tetapi perlu ambil masa se­minggu hingga dua minggu untuk betul-betul dapatkan tahap kecergasan terbaik.

“Saya turun semula berlatih semalam (kelmarin). Saya hara sempat bermain dua atau tiga perlawanan selepas ini supaya dapat membantu Kelantan me­raih keputusan positif,” jelasnya.

The post Lega pasukan Kelantan ada pemilik baharu appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *